KESYAHIDAN ANAS BIN NADHR
Anas bin Nadhr ialah salah seorang daripada sahabat-sahabat Nabi
Muhammad s.a.w. yang tidak mengambil bahagian dalam peperangan Badar.
Dia berasa kesal kerana tidak menyertai peperangan tersebut. Oleh hal
yang demikian dia senantiasa menanti-nanti peluang untuk menyertai
peperangan untuk menebuskan apa yang dianggapnya suatu kerugian bagi
dirinya. Kesempatan yang dinanti-nantinya itupun tibalah apabila berlaku
perang Uhud pada tahun yang berikutnya. Anas pun dengan serta merta
menyertai tentera Muslimin dengan semangat kejihadan yang tulin maju
kemedan pertempuran. Sungguhpun bala tentera yang dihadapi mereka
berkali-kali ganda banyaknya namun tentera Muslimin sedang mengatasi
pihak musuh. Tiba-tiba berlaku suatu kesilapan.
Nabi Muhammad s.a.w. telah menghantar sepasukan pemanah-pemanah yang
terdiri daripada 50 orang untuk menguasai tentera berkuda pihak musuh
yang mungkin menyerang tentera Muslimin dari belakang. Mereka
diperintahkan supaya menetap diatas sebuah bukit dibelakang tentera
Muslimin selagi mereka tidak menerima arahan daripada Nabi Muhammad
s.a.w. sendiri menyuruh mereka berundur dari situ. Tetapi mereka ini
telah mengingkari arahan Baginda s.a.w. Apabila mereka lihat askar-askar
musuh lari lintang pikang, diburu oleh Mujahid-Mujahid Islam, mereka
menyangka yang kemenangan telah pun tercapai lantas meninggalkan tempat
mereka sambil berkejar-kejaran untuk mendapatkan harta rampasan. Yang
tinggal diatas bukit itu hanyalah ketua mereka dan beberapa orang yang
masih taat. Apabila dilihat oleh pemimpin tentera mushrikin yang bukit
itu telah terdedah, dia pun mengerah pasukannya menyebu dan membunuh
tentera panah Muslimin yang masih bertahan diatasnya dan melancarkan
serangan balas terhadap tentera muslimin dari belakang ketika mereka
sedang asyik mengumpulkan tentera rampasan.Dalam keadaan kelam kabut
inilah Anas terpandang kepada Saad bin Maaz yang sedang melalui
hadapannya. Dia memekik mengatakan:"Ya Saad! Kemana engkau? Demi Allah!
Aku mencium bau Syurga yang datangnya dari Jabal Uhud".
Dengan berkata demikian dia pun menerkam musuh lalu menentang mereka
habis-habisan sehingga dia gugur sebagai Syahid dimedan peperangan.
Apabila badannya yang berlumuran darah itu diperiksa terdapat tidak
kurang dari 80 liang luka semuanya.Tidak ada siapa yang dapat
mengenalinya melainkan saudara perempuannya sahaja. Orang yang berjihad
dijalan Allah s.w.t.. dengan penuh keikhlasan dan kejujuran akan
mengecap nikmat syurga didunia ini dan diakirat. Demikianlah hal
keadaannya dengan sahabat Anas bin Nadhr.
No comments:
Post a Comment