KISAH NABI HUD A.S.
"Aad" adalah nama bapa suatu suku yang hidup di jazirah Arab di suatu
tempat bernama "Al-Ahqaf" terletak di utara Hadramaut antara Yaman dan
Umman dan termasuk suku yang tertua sesudah kaum Nabi Nuh serta terkenal
dengan kekuatan jasmani dalam bentuk tubuh-tubuh yang besar dan sasa.
Mereka dikurniai oleh Allah s.w.t. tanah yang subur dengan sumber-sumber
airnya yang mengalir dari segala penjuru sehinggakan memudahkan mereka
bercucuk tanam untuk bahan makanan mereka dan memperindah tempat tinggal
mereka dengan kebun-kebun bunga yang indah-indah. Berkat kurnia Allah
s.w.t. itu mereka hidup menjadi makmur, sejahtera dan bahagia serta
dalam waktu yang singkat mereka berkembang biak dan menjadi suku yang
terbesar diantara suku-suku yang hidup di sekelilingnya.
Sebagaimana dengan kaum Nabi Nuh kaum Hud ialah suku Aad ini adalah
penghidupan rohaninya tidak mengenal Allah Yang Maha Kuasa Pencipta alam
semesta. Mereka membuat patung-patung yang diberi nama " Shamud" dan "
Alhattar" dan itu yang disembah sebagai tuhan mereka yang menurut
kepercayaan mereka dapat memberi kebahagiaan, kebaikan dan keuntungan
serta dapat menolak kejahatan, kerugian dan segala musibah. Ajaran dan
agama Nabi Idris dan Nabi Nuh sudah tidak berbekas dalam hati, jiwa
serta cara hidup mereka sehari-hari. Kenikmatan hidup yang mereka sedang
tenggelam di dalamnya berkat tanah yang subur dan menghasilkan yang
melimpah ruah menurut anggapan mereka adalah kurniaan dan pemberian
kedua berhala mereka yang mereka sembah. Kerananya mereka tidak
putus-putus sujud kepada kedua berhala itu mensyukurinya sambil memohon
perlindungannya dari segala bahaya dan mushibah berupa penyakit atau
kekeringan.
Sebagai akibat dan buah dari aqidah yang sesat itu pergaulan hidup
mereka menjadi dikuasai oleh tuntutan dan pimpinan Iblis laknatullah, di
mana nilai-nilai moral dan akhlak tidak menjadi dasar penimbangan atau
kelakuan dan tindak-tanduk seseorang tetapi kebendaan dan kekuatan
lahiriahlah yang menonjol sehingga timbul kerusuhan dan tindakan
sewenang-wenang di dalam masyarakat di mana yang kuat menindas yang
lemah yang besar memperkosa yang kecil dan yang berkuasa memeras yang di
bawahnya. Sifat-sifat sombong, congkak, iri-hati, dengki, hasut dan
benci-membenci yang didorong oleh hawa nafsu merajalela dan menguasai
penghidupan mereka sehingga tidak memberi tempat kepada sifat-sifat
belas kasihan, sayang menyayang, jujur, amanat dan rendah hati.
Demikianlah gambaran masyarakat suku Aad tatkala Allah s.w.t.
mengutuskan Nabi Hud sebagai nabi dan rasul kepada mereka.
Nabi Hud Berdakwah Di Tengah-tengah Sukunya
Sudah menjadi sunnah Allah s.w.t. sejak diturunkannya Adam Ke bumi
bahawa dari masa ke semasa jika hamba-hamba-Nya sudah berada dalam
kehidupan yang sesat sudah jauh menyimpang dari ajaran-ajaran agama yang
dibawa oleh Nabi-nabi-Nya diutuslah seorang Nabi atau Rasul yang
bertugas untuk menyegarkan kembali ajaran-ajaran nabi-nabi yang
sebelumnya mengembalikan masyarakat yang sudah tersesat ke jalanlurus
dan benar dan mencuci bersih jiwa manusiadari segala tahayul dan syirik
menggantinya dan mengisinya dengan iman tauhid dan aqidah yang sesuia
dengan fitrah.
Demikianlah maka kepada suku Aad yang telah dimabukkan oleh
kesejahteraan hidup dan kenikmatan duniawi sehingga tidak mengenalkan
Tuhannya yang mengurniakan itu semua. Di utuskan kepada mereka Nabi Hud
seorang daripada suku mereka sendiri dari keluarga yang terpandang dan
berpengaruh terkenal sejak kecilnya dengan kelakuan yang baik budi
pekerti yang luhur dan sgt bijaksana dalam pergaulan dengan
kawan-kawannya. Nabi Hud memulai dakwahnya dengan menarik perhatian
kaumnya suku Aad kepada tanda-tanda wujudnya Allah s.w.t. yang berupa
alam sekeliling mereka dan bahawa Allah s.w.t. lah yang mencipta mereka
semua dan mengurniakan mereka dengan segala kenikmatan hidup yang berupa
tanah yang subur, air yang mengalir serta tubuh-tubuhan yang tegak dan
kuat. Dialah yang seharusnya mereka sembah dan bukan patung-patung yang
mereka perbuat sendiri. Mereka sebagai manusia adalah makhluk Tuhan
paling mulia yang tidak sepatutnya merendahkan diri sujud menyembah
batu-batu yang sewaktunya dapat mereka hancurkan sendiri dan
memusnahkannya dari pandangan.
Di terangkan oleh Nabi Hud bahawa dia adalah pesuruh Allah s.w.t. yang
diberi tugas untuk membawa mereka ke jalan yang benar beriman kepada
Allah s.w.t. yang menciptakan mereka menghidup dan mematikan mereka
memberi rezeki atau mencabutnya daripada mereka. Ia tidak mengharapkan
upah dan menuntut balas jasa atas usahanya memimpin dan menuntut mereka
ke jalan yang benar. Ia hanya menjalankan perintah Allah s.w.t. dan
memperingatkan mereka bahawa jika mereka tetap menutup telinga dan mata
mrk menghadapi ajakan dan dakwahnya mereka akan ditimpa azab dan
dibinasakan oleh Allah s.w.t. sebagaimana terjadinya atas kaum Nuh yang
mati binasa tenggelam dalam air bah akibat kecongkakan dan kesombongan
mereka menolak ajaran dan dakwah Nabi Nuh seraya bertahan pada pendirian
dan kepercayaan mereka kepada berhala dan patung-patung yang mereka
sembah dan puja itu.
Bagi kaum Aad seruan dan dakwah Nabi Hud itu merupakan barang yang tidak
pernah mereka dengar ataupun menduga. Mereka melihat bahawa ajaran yang
dibawa oleh Nabi Hud itu akan mengubah sama sekali cara hidup mereka
dan membongkar peraturan dan adat istiadat yang telah mereka kenal dan
warisi dari nenek moyang mereka. Mereka tercengang dan merasa hairan
bahawa seorang dari suku mereka sendiri telah berani berusaha merombak
tatacara hidup mereka dan menggantikan agama dan kepercayaan mereka
dengan sesuatu yang baru yang mereka tidak kenal dan tidak dapat
dimengertikan dan diterima oleh akal fikiran mereka. Dengan serta-merta
ditolaklah oleh mereka dakwah Nabi Hud itu dengan berbagai alasan dan
tuduhan kosong terhadap diri beliau serta ejekan-ejekan dan hinaan yang
diterimanya dengan kepala dingin dan penuh kesabaran.
Berkatalah kaum Aad kepada Nabi Hud: "Wahai Hud! Ajaran dan agama apakah
yang engkau hendak anjurkan kepada kami? Engkau ingin agar kami
meninggalkan persembahan kami kepada tuhan-tuhan kami yang berkuasa ini
dan menyembah tuhan mu yang tidak dapat kami jangkau dengan pancaindera
kami dan tuhan yang menurut kata kamu tidak bersekutu. Cara persembahan
yang kami lakukan ini ialah yang telah kami warisi dari nenek moyang
kami dan tidak sesekali kami tidak akan meninggalkannya bahkan
sebaliknya engkaulah yang seharusnya kembali kepada aturan nenek
moyangmu dan jangan mencederai kepercayaan dan agama mereka dengan
memebawa suatu agama baru yang tidak kenal oleh mereka dan tentu tidak
akan direstuinya."
Wahai kaumku! jawab Nabi Hud, "Sesungguhnya Tuhan yang aku serukan ini
kepada kamu untuk menyembah-Nya walaupun kamu tidak dapat menjangkau-Nya
dengan pancainderamu namun kamu dapat melihat dan merasakan wujudnya
dalam diri kamu sendiri sebagai ciptaanNya dan dalam alam semesta yang
mengelilingimu beberapa langit dengan matahari bulan dan
bintang-bintangnya bumi dengan gunung-ganangnya sungai tumbuh-tumbuhan
dan binatang-binatang yang kesemuanya dapat bermanfaat bagi kamu sebagai
manusia. Dan menjadi kamu dapat menikmati kehidupan yang sejahtera dan
bahagia. Tuhan itulah yang harus kamu sembah dan menundukkan kepala kamu
kepada-Nya, Tuhan Yang Maha Esa tiada bersekutu tidak beranak dan
diperanakan yang walaupun kamu tidak dpt menjangkau-Nya dengan
pancainderamu, Dia dekat daripada kamu mengetahui segala gerak-geri dan
tingkah lakumu mengetahui isi hati mu denyut jantungmu dan jalan
fikiranmu. Tuhan itulah yang harus disembah oleh manusia dengan
kepercayaan penuh kepada keesaan-Nya dan kekuasaan-Nya dan bukan
patung-patung yang kamu perbuat pahat dan ukir dengan tangan kamu
sendiri kemudian kamu sembah sebagai tuhan padahal ia suatu barang yang
tidak dapat berbuat sesuatu yang menguntungkan atau merugikan kamu.
Alangkah bodohnya dan dangkalnya fikiranmu jika kamu tetap
mempertahankan agamamu yang sesat itu dan menolak ajaran dan agama yang
telah diwahyukan kepadaku oleh Allah Tuhan Yang Maha Esa itu."
Wahai Hud! jawab kaumnya, "Gerangan apakah yang menjadikan engkau
berpandangan dan berfikiran lain daripada yang sudah menjadi pegangan
hidup kami sejak dahulu kala dan menjadikan engkau meninggalkan agama
nenek moyangmu sendiri bahkan sehingga engkau menghina dan merendahkan
martabat tuhan-tuhan kami dan memperbodohkan kami dan menganggap kami
berakal sempit dan berfikiran dangkal? Engkau mengaku bahawa engkau
terpilih menjadi rasul pesuruh oleh Tuhanmu untuk membawa agama dan
kepercayaan baru kepada kami dan mengajak kami keluar dari jalan yang
sesat menurut pengakuanmu ke jalan yang benar dan lurus. Kami merasa
hairan dan tidak dapat menerima oleh akal kami sendiri bahwa engkau
telah dipilih menjadi pesuruh Tuhan. Apakah kelebihan kamu di atas
seseorang daripada kami, engkau tidak lebih tidak kurang adalah seorang
manusia biasa seperti kami hidup makan minum dan tidur tiada bedanya
dengan kami, mengapa engkau yang dipilih oleh Tuhanmu? Sungguh engkau
menurut anggapan kami seorang pendusta besar atau mungkin engkau
berfikiran tidak sihat terkena kutukan tuhan-tuhan kami yang selalu
engkau ejek hina dan cemuhkan."
"Wahai kaumku" jawab Nabi Hud, "Aku bukanlah seorang pendusta dan
fikiran ku tetap waras dan sihat tidak kurang sesuatu pun dan ketahuilah
bahawa patung-patungmu yang kamu pertuhankan itu tidak dapat
mendatangkan sesuatu gangguan atau penyakit bagi badanku atau fikiranku.
Kamu kenal aku, sejak lama aku hidup di tengah-tengah kamu bahawa aku
tidak pernah berdusta dan bercakap bohong dan sepanjang pergaulanku
dengan kamu tidak pernah terlihat pada diriku tanda-tanda ketidak
wajaran perlakuanku atau tanda-tanda yang meragukan kewarasan fikiranku
dan kesempurnaan akalku. Aku adalah benar pesuruh Allah s.w.t. yang
diberi amanat untuk menyampaikan wahyu-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang
sudah tersesat kemasukan pengaruh ajaran Iblis laknatullah dan sudah
jauh menyimpang dari jalan yang benar yang diajar oleh nabi-nabi yang
terdahulu kerana Allah s.w.t. tidak akan membiarkan hamba-hamba-Nya
terlalu lama terlantar dalam kesesatan dan hidup dalam kegelapan tanpa
diutuskan seorang rasul yang menuntun mereka ke jalan yang benar dan
penghidupan yang diredhai-Nya. Maka percayalah kamu kepada ku gunakanlah
akal fikiran kamu berimanlah dan bersujudlah kepada Allah s.w.t., Tuhan
seru sekalian alam, Tuhan yang menciptakan kamu menciptakan langit dan
bumi menurunkan hujan bagi menyuburkan tanah ladangmu, menumbuhkan
tumbuhan bagi meneruskan hidupmu. Bersembahlah kepada-Nya dan mohonlah
ampun atas segala perbuatan salah dan tindakan sesatmu, agar Dia
menambah rezekimu dan kemakmuran hidupmu dan terhindarlah kamu dari azab
dunia sebagaimana yang telah dialami oleh kaum Nuh dan kelak azab di
akhirat. Ketahuilah bahawa kamu akan dibangkitkan kembali kelak dari
kubur kamu dan dimintai bertanggungjawab atas segala perbuatan kamu
didunia ini dan diberi ganjaran sesuai dengan amalanmu yang baik dan
soleh mendapat ganjaran baik dan yang hina dan buruk akan diganjarkan
dengan api neraka. Aku hanya menyampaikannya risalah Allah s.w.t. kepada
kamu dan dengan ini telah memperingati kamu akan akibat yang akan
menimpa kepada dirimu jika kamu tetap mengingkari kebenaran dakwahku."
Kaum Aad menjawab: "Kami bertambah yakin dan tidak ragu lagi bahawa
engkau telah mendapat kutukan tuhan-tuhan kami sehingga menyebabkan
fikiran kamu kacau dan akalmu berubah menjadi tidak siuman. Engkau telah
mengucapkan kata-kata yang tidak masuk akal bahawa jika kami mengikuti
agamamu, akan bertambah rezeki dan kemakmuran hidup kami dan bahawa kami
akan dibangkitkan kembali dari kubur kami dan menerima segala ganjaran
atas segala amalan kami.Adakah mungkin kami akan dibangkitkan kembali
dari kubur kami setelah kami mati dan menjadi tulang. Dan apakah azab
dan seksaan yang engkau selalu menakutkan kami dan mengancamkannya
kepada kami? Semua ini kami anggap kosong dan ancaman kosong belaka.
Ketahuilah bahawa kami tidak akan menyerah kepadamu dan mengikuti
ajaranmu kerana bayangan azab dan seksa yang engkau bayangkannya kepada
kami bahkan kami menentang kepadamu datangkanlah apa yang engkau
janjikan dan ancaman itu jika engkau betul-betul benar dalam kata-katamu
dan bukan seorang pendusta."
"Baiklah" jawab Nabi Hud," Jika kamu meragukan kebenaran kata-kataku dan
tetap berkeras kepala tidak menghiraukan dakwahku dan meninggalkan
persembahanmu kepada berhala-berhala itu maka tunggulah saat tibanya
pembalasan Tuhan di mana kamu tidak akan dapat melepaskan diri dari
bencananya. Allah s.w.t. menjadi saksiku bahawa aku telah menyampaikan
risalah-Nya dengan sepenuh tenagaku kepada mu dan akan tetap berusaha
sepanjang hayat kandung badanku memberi penerangan dan tuntunan kepada
jalan yang baik yang telah digariskan oleh Allah s.w.t. bagi
hamba-hamba-Nya."
Pembalasan Allah s.w.t. Atas Kaum Aad
Pembalasan Allah s.w.t. terhadap kaum Aad yang kafir dan tetap
membangkang itu diturunkan dalam dua perinkat. Tahap pertama berupa
kekeringan yang melanda ladang-ladang dan kebun-kebun mereka, sehingga
menimbulkan kecemasan dan kegelisahan, kalau-kalau mereka tidak
memperolehi hasil dari ladang-ladang dan kebun-kebunnya seperti
biasanya. Dalam keadaan demikian Nabi Hud masih berusaha meyakinkan
mereka bahawa kekeringan itu adalah suatu permulaan seksaan dari Allah
s.w.t. yang dijanjikan dan bahawa Allah s.w.t. masih lagi memberi
kesempatan kepada mereka untuk sedar akan kesesatan dan kekafiran mereka
dan kembali beriman kepada Allah s.w.t. dengan meninggalkan persembahan
mereka yang bathil kemudian bertaubat dan memohon ampun kepada Allah
s.w.t. agar segera hujan turun kembali dengan lebatnya dan terhindar
mereka dari bahaya kelaparan yang mengancam. Akan tetapi mereka tetap
belum mahu percaya dan menganggap janji Nabi Hud itu adalah janji kosong
belaka. Mereka bahkan pergi menghadap berhala-berhala mereka memohon
perlindungan dari musibah yang mereka hadapi.
Tentangan mereka terhadap janji Allah s.w.t. yang diwahyukan kepada Nabi
Hud segera mendapat jawapan dengan datangnya pembalasan tahap kedua
yang dimulai dengan terlihatnya gumpalan awan dan mega hitam yang tebal
di atas mereka yang disambutnya dengan sorak-sorai gembira, kerana
dikiranya bahawa hujan akan segera turun membasahi ladang-ladang dan
menyirami kebun-kebun mereka yang sedang mengalami kekeringan. Melihat
sikap kaum Aad yang sedang bersuka ria itu berkatalah Nabi Hud dengan
nada mengejek: "Mega hitam itu bukanlah mega hitam dan awam rahmat bagi
kamu tetapi mega yang akan membawa kehancuran kamu sebagai pembalasan
Allah s.w.t. yang telah ku janjikan dan kamu ternanti-nanti untuk
membuktikan kebenaran kata-kataku yang selalu kamu sangkal dan kamu
dusta."
Sejurus kemudian menjadi kenyataanlah apa yang dikatakan oleh Nabi Hud
itu bahawa bukan hujan yang turun dari awan yang tebal itu tetapi angin
taufan yang dahsyat dan kencang disertai bunyi gemuruh yang mencemaskan
yang telah merosakkan bangunan-bangunan rumah dari dasarnya membawa
berterbangan semua perabot-perabot dan milik harta benda dan melempar
jauh binatang-binatang ternak. Keadaan kaum Aad menjadi panik mereka
berlari kesana sini mencari perlindungan Suami tidak tahu di mana
isterinya berada dan ibu juga kehilangan anaknya sedang rumah-rumah
menjadi sama rata dengan tanah. Bencana angin taufan itu berlangsung
selama lapan hari tujuh malam sehingga sempat menyampuh bersih kaum Aad
yang congkak itu dan menamatkan riwayatnya dalam keadaan yang
menyedihkan itu untuk menjadi pengajaran dan ibrah bagi umat-umat yang
akan datang.
Adapun Nabi Hud dan para sahabatnya yang beriman telah mendapat
perlindungan Allah s.w.t. dari bencana yang menimpa kaumnya yang kacau
bilau dan tenang seraya melihat keadaan kaumnya yang kacau bilau
mendengar gemuruhnya angin dan bunyi pohon-pohon dan bangunan-bangunan
yang berjatuhan serta teriakan dan tangisan orang yang meminta tolong
dan mohon perlindungan. Setelah keadaan cuaca kembali tenang dan tanah
"Al-Ahqaf " sudah menjadi sunyi senyap dari kaum Aad pergilah Nabi Hud
meninggalkan tempatnya berhijrah ke Hadramaut, di mana ia tinggal
menghabiskan sisa hidupnya sampai ia wafat dan dimakamkan di sana dimana
hingga sekarang makamnya yang terletak di atas sebuah bukit di suatu
tempat lebih kurang 50 km dari kota Siwun dikunjungi para penziarah yang
datang beramai-ramai dari sekitar daerah itu, terutamanya dan bulan
Syaaban pada setiap tahun.
Kisah Nabi Hud Dalam Al-Quran
Kisah Nabi Hud diceritakan oleh 68 ayat dalam 10 surah di antaranya
surah Hud, ayat 50 hingga 60 , surah " Al-Mukminun " ayat 31 sehingga
ayat 41 , surah " Al-Ahqaaf " ayat 21 sehingga ayat 26 dan surah "
Al-Haaqqah " ayat 6 ,7 dan 8.
Pengajaran Dari Kisah Nabi Hud A.S.
Nabi Hud telah memberi contoh dan sistem yang baik yang patut ditiru dan
diikuti oleh juru dakwah dan ahli penerangan agama. Beliau menghadapi
kaumnya yang sombong dan keras kepala itu dengan penuh kesabaran,
ketabahan dan kelapangan dada. Ia tidak sesekali membalas ejekan dan
kata-kata kasar mereka dengan serupa tetapi menolaknya dengan kata-kata
yang halus yang menunjukkan bahawa beliau dapat menguasai emosinya dan
tidak sampai kehilangan akal atau kesabaran.
Nabi Hud tidak marah dan tidak gusar ketika kaumnya mengejek dengan
menuduhnya telah menjadi gila dan tidak siuman. Ia dengan lemah lembut
menolak tuduhan dan ejekan itu dengan hanya mengata: "Aku tidak gila dan
bahawa tuhan-tuhanmu yang kamu sembah tidak dapat menggangguku atau
mengganggu fikiranku sedikit pun tetapi aku ini adalah rasul pesuruh
Allah s.w.t. kepadamu dan betul-betul aku adalah seorang penasihat yang
jujur bagimu menghendaki kebaikanmu dan kesejahteraan hidupmu dan agar
kamu terhindar dan selamat dari azab dan seksaan Allah s.w.t. di dunia
mahupun di akhirat."
Dalam berdialog dengan kaumnya. Nabi Hud selalu berusaha mengetuk hati
nurani mereka dan mengajak mereka berfikir secara rasional, menggunakan
akal dan fikiran yang sihat dengan memberikan bukti-bukti yang dapat
diterima oleh akal mereka tentang kebenaran dakwahnya dan kesesatan
jalan mereka namun hidayah iu adalah dari Allah s.w.t., Dia akan
memberinya kepada siapa yang Dia kehendakinya.
No comments:
Post a Comment